BUNGANYA cantik berwarna putih
dengan lima kelopak, tidak ubah seperti labah-labah putih hinggap di celah
dahan pepohon. Tidak hairanlah, kehadirannya pasti menarik tumpuan mata tetamu
yang berkunjung di laman kediaman.
Spider lily memerlukan cahaya
matahari untuk tumbuh subur.
Inilah tarikan bunga Bakung atau
lebih dikenali sebagai ‘spider lily’ atau nama saintifiknya Hymenocallis
littoralis daripada keluarga Amaryllidaceae.
Pokok ini banyak dijumpai di kawasan
tropika dan sub tropika, termasuk di Malaysia dan ada kira-kira 50 spesies
pokok ini di dunia.
Pokok bebawang yang menjadi herba
sejak berkurun lamanya ini mempunyai bunga unik kerana ada lingkaran di
tengah-tengah (corona) yang jarang ditemui pada spesies sama.
Hymenocallis bermaksud ‘membran
cantik’ dalam bahasa Greek, merujuk kepada lingkaran di tengah bunga berkenaan
yang bersambung dengan tangkai bunga yang mengeluarkan debunga yang
dikategorikan sebagai tanaman menakjubkan.
Spider lily atau bakung lebih sesuai
untuk menghiasi taman air atau tumbuhan hiasan dalam pasu. Walaupun dikenali
sebagai lily labah-labah, amun bunga ini lebih kepada tumbuhan dafodil
berbanding tumbuhan lili.
Pokok ini mudah di tanah tetapi
memerlukan cuaca yang panas dan tanah sedikit lembap tetapi bukannya terendam
di dalam air. Daunnya kekal berwarna hijau walaupun selepas bunganya gugur.
Menariknya, tumbuhan mudah hidup ini
sukakan suhu bilik, lembap dan panas dan memerlukan masa tiga bulan untuk tidak
berbunga yang dikenali sebagai tempoh berehat.
Oleh kerana tumbuhan ini sukakan
keadaan yang lembap, ia memerlukan air yang banyak jika anda menyiramnya. Juga,
jangan biarkan tanah di sekelilingnya kering kerana ini boleh menyebabkannya
mati.
Bakung atau spider lily sering hiasi
taman air, selain dijadikan herba merawat luka.
Bunga ini lazimnya mudah dikesan
jika ia tidak subur kerana daunnya akan menjadi kering seakan terbakar.
Bagaimanapun, ia lebih dikenali sebagai tumbuhan tahan lasak kerana bakung
tidak mengalami masalah jangkitan penyakit atau serangan serangga.
Namun, siput, ulat bulu dan hama
putih sering hinggap di pepohon ini tetapi tidak merosakkan tanaman. Satu lagi
ciri menarik pada pokok ini kerana tidak perlu dipangkas seperti pepohon lain
untuk menggalakkan pertumbuhan daun. Ringkasnya, bunga bakung ini tidak
perlukan penyelenggaraan seperti tumbuhan laman lain yang perlu selalu
dibersihkan.
Hymenocallis boleh membesar sehingga
tiga kaki (0.91 meter) dan biasanya perlu dibaja sebulan sekali dengan baja
seimbang dan biasanya tumbuhan ini dipilih sebagai tanaman pemisah sempadan
atau ditanam berbaris di kiri kanan jalan masuk ke laman.
Dalam perubatan tradisional,
tumbuhan ini dikatakan menjadi herba merawat luka tetapi ia tidak boleh dimakan
kerana dikatakan beracun.
No comments:
Post a Comment