Sunday, 26 February 2012

Buruan penggemar bunga?




Tangkai bunga berbentuk nanas dan bunga putih nampak eksotik.
SEKALI pandang, rupa pokok ini sama seperti spesies Zingirber yang kini menjadi pilihan ramai dalam seni hiasan laman.
Namun, Costus Speciosus atau lebih dikenali sebagai Setawar Putih adalah dalam sub famili costoideae dan sejak kebelakangan ini mendapat perhatian dan diburu ramai sebagai pokok hias laman kerana mempunyai bunga yang cantik.
Uniknya, jika tidak berbunga pun, pokok ini nampak seperti berbunga kerana tangkai bunganya (bract ) berwarna merah dan cantik. Ada yang menggelarkan tangkai bunganya seperti bentuk buah nanas. Selepas bunganya layu, tangkai bunga itu akan kekal di tempatnya untuk beberapa minggu. Bunga Setawar Putih berwarna putih dan biasanya pokoknya boleh mencapai ketinggian antara satu hingga tiga meter. Pokok ini biasa dijumpai di dalam hutan kerana ia dikategori sebagai tumbuhan liar.
Namun, sejak lima tahun kebelakangan ini, banyak nurseri menjualnya kerana permintaan daripada orang ramai. Dipercayai bunganya yang cantik memikat pencinta alam memilihnya menghiasi laman kediaman masing-masing.

Setawar putih pelengkap laman ala Bali.
Satu yang menarik mengenai Setawar Putih ia mempunyai rizom yang menyerupai rizom halia. Cara pembiakannya juga sama dengan tumbuhan lain dalam famili halia iaitu biji benih dan pecahan rizom.
Apa yang menarik mengenai tumbuhan ini ialah daunnya yang tersusun dalam bentuk spiral manakala bunganya berwarna putih dan kelihatan seolah-olah kertas crepe yang biasa digunakan untuk dijadikan bunga. Maka, ramai yang menggelarkan tumbuhan ini sebagai crepe ginger.
Batang Costus lembut dan ada ruas seperti buluh dan biasanya batang itu boleh membentuk lingkaran bertingkat-tingkat. Pokok ini sesuai ditanam di sebelah tiang pegola atau pancang kayu kerana ia nampak lebih cantik apabila ia mula melingkari.
Terkini, pokok ini seakan menjadi hiasan wajib bagi laman berkonsepkan nusantara dan tropika. Malah, dalam laman berkonsep Bali, tumbuhan ini juga menjadi pelengkap landskap lembut.

Daun hijau muda costus sesuai untuk landskap lembut.
Pokok ini sangat mudah tumbuh, namun memerlukan cahaya matahari yang sederhana sesuai dengan tempat asalnya kawasan tropika. Bererti tanah yang sedikit lembap memudahkan tumbesarannya.
Selain seni hias landskap, Costus sangat berguna dalam perubatan yang mana rizom setawar putih dijadikan penawar untuk penyakit seperti kusta, kecacingan, penyakit kulit, demam, asma, bronkitis, anaemia dan sembelit.
Ia juga dijadikan ubat untuk merawat luka terbakar, malah dijadikan ubat menghilangkan rasa loya, pening dan muntah. Malah, masyarakat Sunda di Indonesia percaya Setawar putih dapat meningkatkan tenaga batin lelaki.
FAKTA: Setawar Putih
# Dipercayai dijumpai di Pulau Sunda, Indonesia,
# Costus juga dijumpai di pulau-pulau di Kepulauan Pasifik seperti Fiji, Tonga, Kepulauan Islands dan Hawaii.
# Salah satu spesies Costus dikenali sebagai Costus spectabilis menjadi bunga rasmi Nigeria
# Nama lain bagi Costus adalah isebsab (Palauan), keukand (Hindi), pakarmula (Gujarati), pushkarmula (Marathi and Sanskrit), and kostam (Tamil).
# Nama Tempatan: Setawar Putih
# Nama Saintifik: Costus speciosus
# Nama Lain: White costus, lemba batu,spiral ginger,white spiral ginger,kok hing, crepe ginger
Famili: zingerberaceae.
# Lokasi dijumpai: Liar dan ditanam sebagai tumbuhan hiasan di taman.

Bunga Labah-labah ??


BUNGANYA cantik berwarna putih dengan lima kelopak, tidak ubah seperti labah-labah putih hinggap di celah dahan pepohon. Tidak hairanlah, kehadirannya pasti menarik tumpuan mata tetamu yang berkunjung di laman kediaman.

Spider lily memerlukan cahaya matahari untuk tumbuh subur.
Inilah tarikan bunga Bakung atau lebih dikenali sebagai ‘spider lily’ atau nama saintifiknya Hymenocallis littoralis daripada keluarga Amaryllidaceae.
Pokok ini banyak dijumpai di kawasan tropika dan sub tropika, termasuk di Malaysia dan ada kira-kira 50 spesies pokok ini di dunia.
Pokok bebawang yang menjadi herba sejak berkurun lamanya ini mempunyai bunga unik kerana ada lingkaran di tengah-tengah (corona) yang jarang ditemui pada spesies sama.
Hymenocallis bermaksud ‘membran cantik’ dalam bahasa Greek, merujuk kepada lingkaran di tengah bunga berkenaan yang bersambung dengan tangkai bunga yang mengeluarkan debunga yang dikategorikan sebagai tanaman menakjubkan.
Spider lily atau bakung lebih sesuai untuk menghiasi taman air atau tumbuhan hiasan dalam pasu. Walaupun dikenali sebagai lily labah-labah, amun bunga ini lebih kepada tumbuhan dafodil berbanding tumbuhan lili.
Pokok ini mudah di tanah tetapi memerlukan cuaca yang panas dan tanah sedikit lembap tetapi bukannya terendam di dalam air. Daunnya kekal berwarna hijau walaupun selepas bunganya gugur.
Menariknya, tumbuhan mudah hidup ini sukakan suhu bilik, lembap dan panas dan memerlukan masa tiga bulan untuk tidak berbunga yang dikenali sebagai tempoh berehat.
Oleh kerana tumbuhan ini sukakan keadaan yang lembap, ia memerlukan air yang banyak jika anda menyiramnya. Juga, jangan biarkan tanah di sekelilingnya kering kerana ini boleh menyebabkannya mati.

Bakung atau spider lily sering hiasi taman air, selain dijadikan herba merawat luka.
Bunga ini lazimnya mudah dikesan jika ia tidak subur kerana daunnya akan menjadi kering seakan terbakar. Bagaimanapun, ia lebih dikenali sebagai tumbuhan tahan lasak kerana bakung tidak mengalami masalah jangkitan penyakit atau serangan serangga.
Namun, siput, ulat bulu dan hama putih sering hinggap di pepohon ini tetapi tidak merosakkan tanaman. Satu lagi ciri menarik pada pokok ini kerana tidak perlu dipangkas seperti pepohon lain untuk menggalakkan pertumbuhan daun. Ringkasnya, bunga bakung ini tidak perlukan penyelenggaraan seperti tumbuhan laman lain yang perlu selalu dibersihkan.
Hymenocallis boleh membesar sehingga tiga kaki (0.91 meter) dan biasanya perlu dibaja sebulan sekali dengan baja seimbang dan biasanya tumbuhan ini dipilih sebagai tanaman pemisah sempadan atau ditanam berbaris di kiri kanan jalan masuk ke laman.
Dalam perubatan tradisional, tumbuhan ini dikatakan menjadi herba merawat luka tetapi ia tidak boleh dimakan kerana dikatakan beracun.


Panduan Asas


Beberapa Panduan Asas Landskap

Dalam arkitektur, bidang landskap bermaksud sains dan seni mengubahsuai kawasan dengan menyusunatur sesuatu yang semulajadi termasuk penanaman atau pembinaan elemen-elemen secara terancang dalam suatu plan komprehensif.
Landskap membabitkan elemen-elemen topografi seperti bukit bukau, lembah, sungai dan kolam atau penanaman pokok, rimbunan hijau, rumput, bunga dan sebagainya.


Seni landskap merupakan pengolahan elemen semulajadi dan buatan secara harmoni.
Pendek kata, projek landskap di ruang terbatas seperti halaman rumah adalah satu percubaan untuk mencipta dan menggabungkan beberapa unsur alam yang istimewa pada skala lebih kecil dan terkawal.
Kerja lanskap memang sudah menjadi amalan sejak dulu. Namun pendedahan terhadap konsep-konsep atau seni-seni landskap dari budaya-budaya berlainan, menjadikan ia satu bidang yang lebih menarik.
Lanskap yang direka sesuai dan mendokong kediaman secara keseluruhan pasti akan memberikan kepuasan yang dihajati.
PANDUAN MENYEMPURNAKAN LANDSKAP DIY
Sebagaimana yang telah dikatakan tadi, landskap dan kediaman perlu mendokong antara satu sama lain.
Untuk mencapai keharmonian tersebut, anda perlu menimbang dan menimbang pilihan-pilihan yang ada bagi mendapatkan landskap yang benar-benar hebat dan praktikal.

Penyusunan tanaman sangat penting dalam seni landskap.
Gabungan lanskap lembut dan lanskap kejur menyempurnakan laman anda.
Ada beberapa aspek dalam pembinaan landskap secara D-I-Y seperti bajet, kemahiran, iklim, persekitaran, citarasa peribadi dan sumber-sumber yang ada.
Jika anda benar-benar mahu memperindahkan kediaman anda dengan ciptaan landskap sendiri, berikut adalah beberapa tip yang boleh membantu.
  • Pastikan konsep landskap yang ingin anda terapkan sesuai dengan konsep keseluruhan kediaman anda. Ada banyak konsep landskap yang sesuai dengan iklim, persekitaran mahupun budaya kita. Misalnya konsep Bali, Tropika, Melayu, Oriental, Jepun dan sebagainya.
  • Pastikan konsep landskap pilihan anda itu selari dengan rekabentuk rumah dan corak hiasan dalaman rumah anda bagi mencetuskan perasaan serta pandangan yang harmoni.Jika anda menanam gugusan pokok atau bunga-bungaan, pastikan ia disusun mengikut lapisan ketinggian mereka. Pokok yang paling tinggi perlu ditanam di bahagian belakang, sederhana tinggi di bahagian tengah dan renek di bahagian hadapan. Ia bukan sahaja bagi membolehkan anda nampak semua tanaman anda, bahkan jika mereka mengeluarkan bunga, anda akan dapat melihatnya dalam susunan yang menarik.
  • Jangan takut untuk memiliki landskap yang mengandungi unsur air. Bahagian landskap basah selalunya mengundang tumpuan dalam sesebuah rekaan landskap. Ia bukan sahaja menarik pada pandangan mata, malah bunyi percikan air mampu mencipta suatu suasana yang nyaman dan menenangkan. Landskap basah yang paling asas adalah dalam bentuk kolam.Bagaimanapun lebih menarik jika ia dilengkapi pancuran atau terjunan air. Yang ringkas pun sudah memadai. Anda boleh gunakan bahan-bahan yang telah siap dijual atau membina sendiri sesuatu berdasarkan kreativiti serta kemampuan yang anda miliki. Semua bahan atau keperluan membina landskap basah boleh diperolehi dengan mudah di kedai-kedai hardware atau di kedai-kedai akuarium.
  • Pastikan landskap yang anda reka dan bina itu tahan serta mudah diselenggarakan. Misalnya, pilih pokok-pokok yang bukan dari jenis cepat mati atau terlalu manja untuk dijaga. Begitu juga pastikan binaan hardscape anda tahan lasak untuk menangani beban penggunaan dan faktor cuaca. Kalau boleh penyelenggaraan landskap biarlah lebih bermaksud mengawal atau mencorakkan pertumbuhan dan bukan kerana terpaksa membaiki bermacam-macam kerosakan atau menggantikan pokok mati.