Tangkai bunga berbentuk nanas dan
bunga putih nampak eksotik.
SEKALI pandang, rupa pokok ini sama
seperti spesies Zingirber yang kini menjadi pilihan ramai dalam seni hiasan
laman.
Namun, Costus Speciosus atau lebih
dikenali sebagai Setawar Putih adalah dalam sub famili costoideae dan sejak
kebelakangan ini mendapat perhatian dan diburu ramai sebagai pokok hias laman
kerana mempunyai bunga yang cantik.
Uniknya, jika tidak berbunga pun,
pokok ini nampak seperti berbunga kerana tangkai bunganya (bract ) berwarna
merah dan cantik. Ada yang menggelarkan tangkai bunganya seperti bentuk buah
nanas. Selepas bunganya layu, tangkai bunga itu akan kekal di tempatnya untuk
beberapa minggu. Bunga Setawar Putih berwarna putih dan biasanya pokoknya boleh
mencapai ketinggian antara satu hingga tiga meter. Pokok ini biasa dijumpai di
dalam hutan kerana ia dikategori sebagai tumbuhan liar.
Namun, sejak lima tahun kebelakangan
ini, banyak nurseri menjualnya kerana permintaan daripada orang ramai.
Dipercayai bunganya yang cantik memikat pencinta alam memilihnya menghiasi
laman kediaman masing-masing.
Setawar putih pelengkap laman ala
Bali.
Satu yang menarik mengenai Setawar
Putih ia mempunyai rizom yang menyerupai rizom halia. Cara pembiakannya juga
sama dengan tumbuhan lain dalam famili halia iaitu biji benih dan pecahan
rizom.
Apa yang menarik mengenai tumbuhan
ini ialah daunnya yang tersusun dalam bentuk spiral manakala bunganya berwarna
putih dan kelihatan seolah-olah kertas crepe yang biasa digunakan untuk
dijadikan bunga. Maka, ramai yang menggelarkan tumbuhan ini sebagai crepe
ginger.
Batang Costus lembut dan ada ruas
seperti buluh dan biasanya batang itu boleh membentuk lingkaran
bertingkat-tingkat. Pokok ini sesuai ditanam di sebelah tiang pegola atau
pancang kayu kerana ia nampak lebih cantik apabila ia mula melingkari.
Terkini, pokok ini seakan menjadi
hiasan wajib bagi laman berkonsepkan nusantara dan tropika. Malah, dalam laman
berkonsep Bali, tumbuhan ini juga menjadi pelengkap landskap lembut.
Daun hijau muda costus sesuai untuk
landskap lembut.
Pokok ini sangat mudah tumbuh, namun
memerlukan cahaya matahari yang sederhana sesuai dengan tempat asalnya kawasan
tropika. Bererti tanah yang sedikit lembap memudahkan tumbesarannya.
Selain seni hias landskap, Costus
sangat berguna dalam perubatan yang mana rizom setawar putih dijadikan penawar
untuk penyakit seperti kusta, kecacingan, penyakit kulit, demam, asma,
bronkitis, anaemia dan sembelit.
Ia juga dijadikan ubat untuk merawat
luka terbakar, malah dijadikan ubat menghilangkan rasa loya, pening dan muntah.
Malah, masyarakat Sunda di Indonesia percaya Setawar putih dapat meningkatkan
tenaga batin lelaki.
FAKTA: Setawar Putih
# Dipercayai dijumpai di Pulau
Sunda, Indonesia,
# Costus juga dijumpai di
pulau-pulau di Kepulauan Pasifik seperti Fiji, Tonga, Kepulauan Islands dan
Hawaii.
# Salah satu spesies Costus dikenali
sebagai Costus spectabilis menjadi bunga rasmi Nigeria
# Nama lain bagi Costus adalah
isebsab (Palauan), keukand (Hindi), pakarmula (Gujarati), pushkarmula (Marathi
and Sanskrit), and kostam (Tamil).
# Nama Tempatan: Setawar Putih
# Nama Saintifik: Costus speciosus
# Nama Lain: White costus, lemba
batu,spiral ginger,white spiral ginger,kok hing, crepe ginger
Famili: zingerberaceae.
# Lokasi dijumpai: Liar dan ditanam
sebagai tumbuhan hiasan di taman.